Sunday, December 12, 2010

azam baru untuk tahun baru

assalamualaikum.. ahlan wasahlan..

Alhamdulillah Sha ada peluang nak update blog, lepas ni Sha nak STOP untuk sementara waktu untuk bagi peluang pada diri sendiri tumpu perhatian pada STUDY.. tapi insyaAllah sha akan usahakan untuk update seminggu atau 2minggu sekali...insyaAllah...

Azam sha tahun ni, insyaAllah komitment tu tertumpu pada pelajaran dan keluarga terutamanya umi dan walid tersayang, itulah yang paling utama dan semangat tu makin berkobar-kobar dengan dorongan daripada sahabat2.. alhamdulillah...

Apa pun yang telah terjadi sepanjang tahun ni mana yg baik tu jadikan tauladan dan mana yang tak baik tu perbaiki menjadi yang lebih baik dan jadikan ia sempadan. Sha akan berusaha lebih gigih lagi untuk menjadi pelajar cemerlang, belajar bersungguh2 dan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan lepas. Semoga masalah atau musibah yang menimpa sebelum ini akan berakhir dan menjadikan diri ini lebih baik dari sebelumnya, insyaAllah... amiin...

Jadi Sha nak tanya sahabat semua, bagaimana dengan azam baru? tentu semua berkobar-kobar dengan azam baru kan? =)
alhamdulillah.. apa-apa pun ingat, apa sekalipun azam kita, jangan lupa kita adalah khalifah di atas muka bumi. Carilah redha-Nya dalam melakukan apa saja tugasan atau sebarang pekerjaan...

Tuntutlah ilmu, tetapi tidak melupakan ibadah, dan kerjakanlah ibadah tetapi tidak boleh melupakan ilmu. (Hasan Basri)


Kurangkan gula dalam makanan, tambahkan manis dalam senyuman~


^_^
Selamat menuntut ilmu~

Wednesday, December 8, 2010

Wanita bijaksana, wanita bahagia~~

Assalamualaikum.. selamat petang, selamat tahun baru hijrah. Masih belum terlewat sha nak ucapkan.. =)
Sebenarnya hari ni tak tahu nak tulis apa sebab banyak kerja nak buat di rumah, jadi lepas makan tadi ada belek2 buku "Be a Hapiness Woman" oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni, asyik sangat sampai tak perasan masa berlalu dengan begitu pantas.

Sha tertarik dengan ungkapan yang disebutkan dalam buku ini begini bunyinya "Wanita yang bijaksana mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang segar menghijau"... Sha betul-betul tertarik dengan kata-kata ini. Walaupun ungkapan ini ringkas saja, tapi ia bagi makna yg cukup mendalam. Sha nak olah serba sedikit makna di sebalik ungkapan ini melalui pemahaman sendiri..

Siapa wanita yang bijaksana itu?

Wanita yang bijaksana ini adalah wanita muslimah yang sejati dimana mereka bukan saja menjaga hak Allah, memelihara hubungan dengan Allah, tetapi mereka juga menjaga hubungan baik sesama manusia.

Wanita yang bijaksana itu sentiasa bertaubat. tidak menunggu-nunggu masa untuk bertaubat untuk sekian-sekian masa. Mereka sentiasa membersihkan diri dari dosa dan noda agar lebih mudah melangkah mendekati Tuhan. 

Wanita yang bijaksana itu sentiasa menjaga akhlaknya, menjaga tingkah-lakunya walau dimana saja mereka berada kerana bagi mereka akhlak tu melambangkan peribadi seseorang, akhlak itu dinilai dengan sikap yang ditunjukkan mereka. Sikap seseorang akan terpantul kepada orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika baik sikap mereka, orang-orang di sekeliling akan menilai mereka seorang yang baik dan begitu jugalah sebaliknya.

Wanita yang bijaksana sentiasa menjauhi perkara-perkara yang membawa dia kepada kemaksiatan dan kemurkaan kepada Tuhan. Mereka menjauhi sikap dendam, ego, riak dan sikap2 mazmumah yang lain kerana mereka tidak mahu menjadi wanita yang dibenci Allah.

Wanita yang bijaksana itu sentiasa membahagiakan suami dan bijak menguruskan rumahtangga agar sentiasa menjadi harmoni dan gembira. Wanita bijaksana ini tidak akan tergamak menyusahkan suaminya dengan pelbagai permintaan dan tuntutan. Ia bersikap menerima apa yang sudah diberikan oleh Allah kepadanya.

Wanita yang bijaksana itu sentiasa rela dan redha dengan ketentuan dan pilihan Allah sama ada dalam penetapan jodoh, kehidupan, kesihatan atau kebahagiaannya. Jadikan Hajar r.a. isteri Nabi Ibrahim sebagai contoh ketika suaminya meninggalkannya bersama anak lelakinya Nabi Ismail a.s. di suatu lembah yang gersang atas perintah Allah SWT.

Wanita yang bijaksana sentiasa mahu rasa bahagia dan mencari kebahagiaan. Bagi mereka, masalah itu bukanlah suatu musibah atau sesuatu yang melemahkan mereka tetapi sebagai penghembus semangat untuk terus berusaha menjadi wanita yang paling bahagia.



10 formula untuk mencapai bahagia:
  1. Mengerjakan sesuatu yang disenangi. Jika dalam pelaksanaannya ada halangan, maka cubalah melakukan apa yang menjadi kesenangan anda pada waktu anda lapang atau ketika anda sibuk.
  2. Mengambil berat dengan kesihatan sangat penting, kerana kesihatan adalah kunci kebahagiaan itu sendiri. Caranya banyak, antara lain menjaga keseimbangan pemakanan, bersukan dan menjauhi kebiasaan yang tidak sihat.
  3. Mempunyai matlamat hidup yang jelas, kerana ia yang akan membuat seseorang bersemangat.
  4. Rela dan redha menerima kehidupan apa adanya, termasuk pahit maungnya hidup itu.
  5. Menumpukan perhatian pada hidup yang ada pada hari ini, tidak menyesali yang telah berlalu, dan tidak bersikap gelisah menghadapi hari esok yang belum tentu sampai.
  6. Mampu berfikir dalam kerja dan berani mengambil keputusan. Tidak menyalahkan orang lain jika keputusan yang diambil itu salah.
  7. Selalu memerhatikan orang yang lebih rendah ditinjau dari status ekonomi dan sebagainya, supaya kita lebih tahu masih ada orang yang lebih susah dan mempunyai masalah yang lebih rumit dari kita.
  8. Tidak kedekut memberi senyuman dengan wajah berseri dan sentiasa berkawan dengan mereka yang optimis.
  9. Bersedia membantu orang lain supaya mereka bahagia, kerana dengan demikian ia juga akan mendapat tempias kebahagiaan itu.
  10. Mampu merebut peluang dan kesempatan berharga dan menjadikannya sebagai pusat kebahagiaan.

"Jadilah wanita yang mampu mengubah musibah menjadi anugerah"

Kepahitan sabar akan menjanjikan natijah yang manis. Tidak ada yang dapat mengangkat darjat seorang wanita sebagaimana yang dapat dilakukan yakni sikap memelihara maruah.

Sebelum ana akhiri menulis pada hari ni, ada sebuah kisah yang nak dikongsikan dengan sahabat semua tentang seorang wanita bijaksana pada zaman Rasulullah. Beliau menyampaikan sebuah berita yang cukup sedih dengan cara yang bijaksana dan teliti kerana cara yang baik serta waktu yang sesuai akan meringankan rasa duka di dalam jiwa. Hayatilah kisah ringkas ini, semoga bermanfaat buat kita.

Dalam sejarah Islam, ada seorang sahabat wanita yang dianggap sebagai ikon kesabaran. Wanita yang dimaksudkan itu ialah Ummu Sulaim, isteri Abu Talhah. Kesabaran Ummu Sulaim itu akhirnya mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT, malah ia berlaku semasa hidupnya.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Ummu Sulaim dan Abu Talhah mempunyai seorang anak yang sedang sakit parah. Ketika Abu Talhah tidak ada di rumah, anak itu meninggal dunia. Ummu Sulaim menerima cubaan itu dengan penuh kebijaksanaan, bersikap sabar dan lemah lembut. Maka berkata Ummu Sulaim kepada keluarganya : "Janganlah kamu memberitahu kepada Abu Talhah tentang anaknya sehingga aku sendiri yang menceritakannya."

Apabila Abu Talhah balik ke rumah, dia bertanya kepada isterinya, Ummu Sulaim : "Bagaimana keadaan anak kita?" Ummu Sulaim menjawab : "Sekarang dia lebih tenang dari sebelumnya!"

Sehingga sampai saat makan, dia pun makan dan minum. Kemudian Ummu Sulaim berhias dengan solekan yang indah, yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Tertariklah Abu Talhah dan terjadilah hubungan suami isteri. Setelah itu, Ummu Sulaim lalu berkata : "Wahai Abu Talhah, bagaimana pendapatmu apabila ada suatu kaum meminjamkan barang pinjaman kepada kaum yang lain.sehingga kaum tersebut ingin meminta barangnya kembali, adakah yang meminjam mempunyai hak untuk menghalangnya?"

Abu Talhah r.a. menjawab : " Tidak." Ummu Sulaim berkata : " Maka mohonlah pahala Allah untuk anakmu. Anas r.a. berkata : "Maka marahlah Abu Talhah sambil berkata : "Apakah engkau membiarkan sehingga aku kotor baru engkau khabarkan tentang anakku." Kemudian Abu Talhah pagi-pagi sekali datang kepada Nabi SAW dan memberitahu apa yang berlaku. Nabi SAW bertanya : "Apakah kamu berhubungan semalam?" Abu Talhah menjawab : "Ya." Nabi SAW bersabda: "Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada kamu berdua."

Tidak berapa lama kemudian Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki. Abu Talhah berkata kepadaku : "Bawalah anak ini dan beberapa kurma kepada Nabi SAW." Nabi SAW bertanya : "Apakah ada sesuatu bersama anak itu?" Abu Talhah menjawab : "Ya, beberapa buah kurma."Nabi SAW mengambil kurma tersebut dan mengunyahnya, lalu mengeluarkan dari mulutnya dan menyuap anak kecil itu dengan kurma yang sudah dikunyah oleh bagainda dan memberi nama anak itu Abdullah.

Begitulah keperibadian Ummu Sulaim yang tidak mahu membesar-besarkan masalah, walaupun sebenarnya masalah yang mereka hadapi sangat berat. Kerana jika kita redha dengan ketentuan yang telah Allah SWT berikan, maka Allah akan menggantikan sesuatu yang pergi dengan yang lebih baik lagi.


Tuesday, December 7, 2010

Wanita ahli syurga

Assalamualaikum w.b.t... Ahlan wasahlan. Selamat petang sahabat sha yang dirahmati Allah.. Hari ini sha cukup teruja untuk menulis tentang kisah pada zaman Rasulullah S.A.W iaitu kisah wanita ahli syurga. Tentu sahabat semua excited nak tahu bagaimana wanita ini diangkat darjat oleh Allah menjadi wanita ahli syurga, mungkin ada antara sahabat sudah mendengar akan kisah ini di sekolah, madrasah atau pernah diceritakan oleh sesiapa sebelum ini kan? Baiklah, mari kita ikuti dan teladani kisah wanita ini, insyaAllah moga dengan mencontohinya kita juga mungkin akan menjadi wanita sepertinya.. InsyaAllah.. Amiin...




Diriwayatkan pada suatu hari Rasulullah SAW. memanggil anak kandungnya, Fatimah r.a.
"Fatimah anakku, mahukah engkau menjadi seorang perempuan yang baik budi dan seorang isteri yang dicintai suami?"
"Tentu saja wahai ayahku,"
"Tidak jauh dari rumah ini, ada seorang perempuan yang sangat baik budi pekertinya. Perempuan itu bernama Siti Muthi'ah. Cuba engkau jumpai dia dan teladani budi pekertinya yang baik itu."

Fatimah r.a. yang selalu patuh dan taat itu memenuhi kehendak ayahnya dan ingin sekali mengetahui amalan apa yang dikerjakan Siti Muthi'ah sehingga ia dikatakan oleh Rasulullah SAW sebagai seorang perempuan yang sangat baik budi pekertinya. Maka Fathimah r.a. membawa serta anaknya Hasan yang masih kecil ke rumah Siti Muthi'ah.

Apabila sampai di rumah Siti Muthi'ah. Fathimah r.a. memgucapkan salam. Siti Muthi'ah segera membuka pintu. Hantinya begitu gembira kerana ternyata tamunya adalah anak Rasulullah SAW beserta cucunya. Dalam hatinya berfikir, apa gerangan maksud kedatanan Fatimah r.a. ke rumahnya. Setelah Fatimah .r.a. menyatakan maksud kedatangannya, tiba-tiba Siti Muthi'ah dengan mesra menolak kedatangan puteri Nabi SAW itu.

"Bagaimanapun aku bahagia sekali menyambut kedatananmu di sini. Namun, maafkan aku, sebab aku hanya dapat menerima kedatanganmu saja. Sesungguhnya, suamiku telah berpesan agar aku tidak menerima tamu lelaki ke rumah ini..."
"Ini ialah Hasan, anakku sendiri.Bukankah ia masih kanak-kanak?"
"Sekali lagi maafkanlah aku, walaupun ia masih kecil tetapi ia lelaki. Sungguh aku tidak berani melanggar wasiat suamiku."

"Fatimah r.a. mula menyedari keutamaan dan kemuliaan Siti Muthi'ah sebagaimana yang diaktakan ayahnya. Ia semakin berhasrat untuk meneliti lebih dalam akhlak wanita solehah itu.
"Kalau begitu, baiklah Siti Muthi'ah. Sangat kuhargai keteguhan hatimu dalam menjaga amanat suamimu,"
Fatimah r.a. berkata lembut sambil meninggalkan Siti Muthi'ah.
Tidak berapa lama, Fatimah r.a. kembali lagi ke rumah Siti Muthi'ah seorang diri. Kali ini Siti Muthi'ah menyambutnya dengan mesra dan melayaninya sebagai tamu istimewa.
"Aku jadi hairan dan tertanya-tanya. Sebenarnya apa maksudmu ke sini, wahai puteri Rasulullah? Seakan-akan ada sesuatu perkara yang penting. Gerangan apakah ini?"

"Memang benarlah, Muthi'ah. Ada berita gembira untukmu dan ayahku sendirilah yang mengarahkan aku datang ke rumahmu ini."
"Rasulullah? Katakanlah segera, wahai Fatimah. Berita gembira apakah itu?"
"Ayahku mengatakan bahawa engkau seorang yang berbudi sangat baik. Kedatanganku ke sini tiada lain melainkan ingin meneladani budi pekertimu."
"Engkau sedang bergurau sahabatku. Keutamaan budi pekerti apa yang kumiliki? Aku tidak merasa mempunyai sesuatu keutamaan. Aku biasa-biasa saja sebagaimana yang engkau lihat. Sungguh tiada sesuatu pun yang dapat kusampaikan kepadamu mengenai keutamaan budi pekerti yang perlu engkau teladani. Aku merasa tidak mempunyai kelebihan. Apakah engkau sedang bersenda gurau, wawhai puteri Rasulullah?"

"Aku benar-benar serius, Muthi'ah. Sesungguhnya Rasulullah SAW yang mengatakan demikian. Terimalah berita gembira ini dengan penuh syukur. Ceritakanlah kepadaku tentang budi pekerti yang luhur itu."
Siti Muthi'ah masih terhairan-hairan mendengar keterangan Fatimah r.a. Sementara itu, tanpa sengaja, Fatimah r.a. tenampak sebuah rotan, sebuah kipas dan sehelai tuala di dalam ruangan rumah itu. Ia merasa tertarik melihat ketiga-tiga benda itu. Disoalnya Siti Muthi'ah.
"Untuk apakah ketiga-tiga benda itu, wahai Muthi'ah?"
"Ah, aku malu menceritakannya kepadamu," katanya lembut.
"Ceritakanlah, mungkin ketiga-tiga benda ini yang menjadi rahsia budi pekertimu yang dikatakan Rasulullah SAW itu."

Siti Muthi'ah mula bercerita mengenai ketiga-tiga benda itu.
"Engkau tahu, suamiku bekerja keras memeras keringat untuk mencukupi kehidupan kami dari hari ke sehari. Maka aku sangat sayang dan menghormatinya. Sebaik saja ia kulihat pulang bekerja, cepat kusambut kedatangannya dengan mesra. Kubuka bajunya dan kusapu tubuhnya yang berkeringat itu dengan tuala, sehingga ia berbaring melepaskan lelahnya. Maka aku pun mengambil kipas lalu dengan penuh kasih sayang aku kipasi tubuhnya sehingga hilang lelahnya atau ia tertidur."

"Sungguh luar biasa budi pekertimu, wahai Muthi'ah," kata Fatimah r.a. sambil menyedari bahawa dirinya sendiri tidak pernah berbuat demikian kepada suaminya, Ali bin Abi Thalib r.a.
"Lalu, untuk apa pula rotan itu, AMuthi'ah?" tanya Fatimah lagi.
"Kemudian aku berpakaian seindah mungkin kerana aku tahu lelaki itu suka apabila melihat isterinya berpakaian indah untuknya. Setelah ia bangun dan mandi, aku telah siap menyediakan makan dan minum untuknya. Setelah semua selesai, aku berkata kepadanya, "Oh, abang. Bilamana pelayananku sebagai isteri dan masakanku tidak berkenan pada hatimu, aku bersedia menerima hukuman darimu dengan ikhlas. Silalah pukul badanku dengan rotan ini dan sebutlah kesalahanku itu agat tidak kuperbuat lagi pada masa yang akan datang." Kubuka bajuku dan rotan itu kuserahkan kepadanya.

"Selalukah engkau dipukulnya dengan rotan itu?"
"Tidak pernah. Bukan rotan yang diambilnya, tetapi tubuhku yangditariknya dengan penuh mesra. Itulah bahagian dari kebahagiaan kami sehari-hari."
"Jika demikian, sungguh luar biasa, Muthi'ah. Sungguh luar biasa. Benarlah ayahku mengatakan engkau perempuan yang berakhlak mulia," kata Fatimah.



Jangan bersedih sahabatku...


"Jangan bazirkan air mata awak kerana seorang lelaki" pesan sahabatku. Aku membuang pandangan ke arah lain, tidak sanggup rasanya untuk meneruskan ceritaku pada dia, lantas ku seka air mata yang mulai gugur satu persatu itu. "Sahabatku, dunia ini hanya permainan dan senda gurau, kan lebih elok air mata tu jatuh kerana menangisi perbuatan dan dosa-dosa kita yang telah lalu..." tambahnya lagi.

"Bagaimana ingin saya lupa, dia adalah insan yang sangat saya sayang. Nur.. awak jangan risau tentang saya ya, insyaAllah saya akan berusaha untuk buang jauh-jauh perasaan itu". Nur memandangku hambar, mungkin dia rasakan nasihatnya cuma sia-sia. Lantas ku pegang erat tangan Nur. "Saya harap awak ada untuk saya, bagi sokongan pada saya Nur"
"Nasuha, jika awak hanya berkata insyaAllah akan berusaha tetapi awak tidak lakukannya, untuk apa nasihat saya? Saya tak sanggup melihat sahabat saya jadi begini, bersedih hati hanya kerana seorang lelaki!" suaranya sedikit meninggi.

"Berilah saya masa Nur, saya akan buktikan pada awak, pada semua orang yang saya mampu lupakan dia".
"Awak kena cekal Nasuha, kuatkan semangat awak. Setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Saya dah tak sanggup tengok kawan saya menderita. Untuk apa awak menderita jika lelaki itu belum tentu menjadi milik awak Nasuha! Ingatlah, dia belum tentu akan menjadi suami awak. Tidak perlulah awak bersusah payah untuk dia jika awak sendiri tahu yang dia hanya mengambil kesempatan atas kelemahan awak saja" panjang sungguh ayat yang keluar dari bibir Nur. Dari sebalik wajahnya, aku nampak bola-bola jernih mengalir dari tepi matanya.

"Nur, saya takkan sia-siakan nasihat awak" hatiku menjerit.  Nur berlalu dari bilik, mungkin kembali ke bilik study. Dia sendiri tidak sanggup melihat air mataku mengalir lagi. Aku faham benar dengan sikap Nur. Tak pernah aku nampak sekali pun dia membuka kisah tentang lelaki. Aku pernah cuba untuk bertanya, tapi Nur hanya mendiamkan diri. Katanya belum sampai masa untuk dia berada di alam itu. Kadang-kadang aku ingin sekali menjadi seperti Nur. Dia teman paling rapat yang aku ada.

Ahhh.... tiba-tiba fikiranku menerpa kembali kepada Ahmad Farhan. Kenapa dia sanggup buat aku seperti ini? Apa salahku padanya? Apa kejamkah aku mencintainya? Kenapa dia selalu menyiksa hatiku begini? Begitu banyak persoalan yang aku lontarkan dalam hati.
"Ahmad Farhan, kenapa susah benar awak ingin memahami hati saya? Pengorbanan yang macam mana lagi yang perlu saya buat untuk memenangi hati awak....??"

"Nasuha, awak ada kat mana ni? Sibuk ke? Saya nak minta tolong boleh?" satu sms dihantar ke telefon bimbitku. Tertera nama Ahmad Farhan di skrin telefon itu. Aku dalam dilemma. Apakah harus aku membalas smsnya kali ini? atau membiarkan saja? Ahh.... peningnya, kenapa saat-saat inilah Ahmad Farhan menghantar sms padaku. Aku sudah berjanji dengan Nur tadi. Bagaimana mungkin aku lupa dengan kata-kataku pada Nur.

"Kenapa tak balas sms saya?" sms yang kedua menyusul. Jantungku berdegup kencang. Apa yang harus aku lakukan? Kejamkah aku untuk mengabaikan saja sms dari insan yang amatku sayang ni? Wajah Nur dan Ahmad Farhan datang silih berganti. Kedua-duanya memandangku tajam. Aku betul-betul buntu, lantas aku ambil keputusan untuk mengabaikan saja sms itu. "Biarlah!!!" Batinku menjerit. "Padan muka dia, siapa suruh buat saya macam ni? Siapa yang kejam saya atau awak Ahmad Farhan? Siapa yang sia-siakan cinta saya? Siapa yang hilangkan kepercayaan saya? Siapa yang dah carik-carik hati saya?"

Aku menangis lagi. Kenapa mudah sangat untuk aku mengalirkan air mata untuk lelaki ini. "Nasuha lupakan dia, masih ramai lagi lelaki lain yang lebih baik dari dia. Lupakan dia Nasuha, tidak guna awak terlalu setia pada orang yang tak pernah ingat pada awak. Dia hanya datang cari awak tika dia perlukan awak saja Nasuha. Plezzzzz....... tanam dalam diri awak tu untuk buang dia jauh-jauh dari hati awak..." Jiwaku meronta-ronta, wajahku mula memerah mendengar jeritan batinku sendiri. Telefon bimbit itu aku off... Baru lega rasanya tanpa gangguan si dia.

"Nasuha sayang Farhan tak?" ujarnya. Aku mengangguk malu, dia tersenyum memandangku. "Tentulah sayang, itu pun nak tanya ke?" Aku berjalan mendahuluinya. "Tanya je, salah ke?" ujarnya pula. Dia mengekoriku dari belakang.
"Tak de lah salah. Kalau saya kata saya sayang awak, itu tanda saya betul-betul sayang awak" jawabku. Dia tersenyum lagi. "Tapi janganlah sampai cinta kita ini melebihi cinta kita pada Tuhan" ujarnya. "Kalau kita mahu pasangan kita setia dengan kita, kita perlu setia dengan Tuhan, setialah pada agama, insyaAllah pasangan kita akan setia dengan kita" pesan Ahmad Farhan padaku. Aku mengerti kata-katanya, penuh makna.

Tapi itu dulu..... kini aku betul-betul tak sangka dia sendiri yang berubah. Aku sendiri tak mengerti kenapa dia boleh berubah. Aku dah cuba jadi buah hati yang paling baik untuk dia, yang setia dengan dia, yang sanggup lakukan apa sahaja, yang sentiasa ada untuk dia tika dia perlukan aku, tapi kenapa dia begitu kejam? Kenapa dia curang padaku? Dimana salahku, mana silapku?

Aku sungguh tidak sangka dia hanya pandai bermain kata-kata, lama-kelamaan keegoannya terserlah. Dia berubah menjadi makin tegas dan selalu meninggikan suara padaku. Lantaran rasa takut itu, aku tidak pernah katakan tidak boleh padanya, tidak pernah sekali pun aku marah padanya semula. Aku tetap menjaga egonya walau aku terpaksa melupakan ego aku sendiri.

Betullah kata Nur, mencintai tidak beerti memiliki. Aku redha dengan ketentuan Illahi kerana tidak disangka-sangka Ahmad Farhan meminta hubungan kami ini putus. Katanya, dia belum bersedia untuk perhubungan yang serius. Katanya dia hanya menganggap hubungan kami seperti abang dan adik sahaja. Katanya aku layak mendapat lelaki yang jauh lebih baik dari dia. Air mataku gugur saat dia luahkan itu. "Sampai hati awak Ahmad Farhan, sampai hati awak buat saya macam ni" keluhku perlahan.

"Haah... berangan apa ni Nasuha? Masih sedih dengan kisah awak bersama Ahmad Farhan ke?" teguran Nur itu membuatku tersentak. "Eh, mana ade, cuma risau dengan assignment yang berlambak..." ujarku. Nur memandangku sekilas..
"Yeke? Dari tadi saya nampak awak termenung. Sudah lah tu Nasuha, tak guna ingat-ingat lagi pada dia. Dia dah jadi sejarah, sekarang kita buka lembaran baru. Selagi kita masih Allah bagi peluang untuk bernafas ni, tunaikanlah tanggungjawab kita padaNya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya...". Aku mengangguk. Sedikit terkena dengan kata-kata dari sahabatku itu.

"Terima kasih sahabatku. Awak aje lah yang memahami saya". Nur mengangkat keningnya, buat-buat tak faham. Pecah ketawa kami. Kadang-kadang Nur ni kelakar juga orangnya. Ada masa dia nampak tegas, ada masa dia pandai juga buat orang yang sedih menjadi ceria kembali.
"Dia cari awak lagi ke Nasuha?" tiba-tiba persoalan itu singgah dari bibirnya. Aku kembali terdiam, suasana sepi seketika.
"Hurmm.... ya!" balasku ringkas.

"Apa lagi yang dia nak dari awak Nasuha? Tak cukup lagi ke dia dah sakiti hati awak selama ni. Ermm... awak cakap apa dengan dia?". Nur memandangku tajam, seolah-olah mencari jawapan dari sebalik wajahku. "Saya tak balas sms dia, saya nak pergi jauh-jauh dari dia, saya tak nak dia muncul lagi dalam hidup saya", jawabku sugul.

"Baguslah macam tu Nasuha. Jangan kerana seorang lelaki, kita bazirkan masa kita, kita bazirkan duit kita untuk dia, kita bazirkan waktu yang tersisa ni untuk dia, kita bazirkan air mata kita yang mahal ni kerana dia. Sedarlah sahabatku, sedarlah! Jangan sampai tersilap langkah, nanti kita sendiri yang menyesal".

Aku memegang kemas jari jemari Nur, ku cari keikhlasan dari balik kata-katanya. Mataku mula berkaca-kaca.
"Nur, jauh di sudut hati saya, saya amat menyayanginya, tapi bila saya teringat macam-macam perkara yang dia dah buat pada saya, saya jadi geram sangat dengan dia. Sudah banyak benda yang saya dah buat untuk dia, macam-macam saya korbankan untuk dia, semuanya untuk dia. Tapi dia tak pernah sekali pun cuba selami hati saya, tak pernah sekali pun cuba berada di tempat saya. Saya rasa pengorbanan saya hanya sia-sia!", luahku pada Nur. Dia mengangguk memandangku.

"Betul tu Nasuha. Bukalah hatimu, bukalah mindamu Nasuha, pasti suatu hari nanti Allah akan ganti dengan orang lain yang jauh lebih baik dari dia dan pada saat tu awak akan rasa sangat bertuah kerana dipertemukan dengan orang itu. Belajarlah dari kesilapan. Terimalah ketentuan Allah ini dengan redha. Indahya jika kita dapat mensyukuri pemberian yang sedikit itu Nasuha, kerana pemberian yang sikit itulah yang membawa kita ke Jannah Tuhan. Jangan kerana kita kehilangan seorang insan yang amat kita sayang, kita tutup hati kita ni rapat-rapat, kerana kadang-kadang kita memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga kita tak nampak pintu yang telahpun dibukakan untuk kita". Nasihat Nur membuat dadaku sebak, lantas aku peluk erat tubuhnya melepaskan segala yang terbuku di jiwa.

Air mataku menitis lagi, kali ini ia bukan kerana seorang lelaki tetapi kerana terharu dengan keikhlasan seorang teman sejati.....


^_*

pesanan: kisah ini sha karang sendiri, tak tahulah ok ke tak pada pandangan sahabat.. hehe.. Apa-apa pun ape yang sha nak sampaikan, pertama sekali carilah sahabat yang mulia yang mengajak kita berbuat yang baik dan menjauh yang mungkar, yang kedua, jodoh pertemuan ketentuan Allah, jangan kita lupa cinta hakiki dan rindu abadi hanya pada Allah, jauhi zina.. dan yang ketiga, jika kita berbuat baik dengan orang, berpada-padalah kerana silap2 kita hanya dipermainkan.. Renung-renungkan dan selamat beramal.. =)


ummi..... ajarkanlah kakak tentang cinta~

Assalamualaikum... Semoga sahabat terhibur. Kisah ini juga sha ada letak dalam facebook, sesiapa yang sudah baca boleh baca sekali lagi.. hehe~ Semoga menjadi renungan buat anda..


Saya bertanya kepada ummi, "mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau orang yang kita sayang?" Ummi jawab,"dua-dua bukan....." Saya tercengang.. Ummi mengukir senyuman. Pilihan hati ummi adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam...

"Macam mana nak tau orang tu sayangkan kita kerana apa?" Ummi diam sekejap berfikir kemudian tersenyum. Rasanya ummi dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya ini. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari ummi sedangkan sekilas saya pun ummi mampu membacanya.

"Yang paling tahu hanya Allah.." Ummi merenung dalam-dalam wajah saya.. "Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya." Ummi menyusun ayat-ayatnya. "Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "tak faham.."

Ummi menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."
Ummi menyambung lagi,  "Begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi oleh seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan megnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika ummi dapat mengesan gelora jiwa muda ini. Ummi menyambung,

"Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.... Siapakah jodoh itu? ummi berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Ummi buat-buat tak nampak.

"Kakak, ummi dulu masa muda ada secret admirer.. Rajin betul dia hantar surat. Masa ummi hendak balik sekolah pun dia selalu ikut, sampai ummi lari menyorok dari dia. Ummi takut dia apa-apakan ummi. Dalam hati tak berhenti-henti berdoa agar Allah sentiasa pelihara ummi. Masa tu ummi tahu bercinta sebelum kahwin ni tidak halal...dan masa tu ummi tekad tak mahu layan sebab ummi takut tok kamu marah. Ummi sedar ummi anak orang miskin, adik beradik ramai.. Ummi nak belajar bersungguh-sungguh..

Lama budak tu tunggu ummi. Akhirnya ummi bagi kata putus, ummi hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami ummi... dan dia memang bukan jodoh ummi, maka tak pernah dia menerima balasan cinta itu." Ummi merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada ummi, semakin berminat dengan kisah lama ummi.

"Ummi memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" Saya menyoal sambil memandang tajam wajah ummi. Ummi ketawa kecil... "Walaupun mungkin ada, ummi tak pernah bagi peluang pada diri ummi untuk mengisytiharkan perasaan tu... Ummi takut pada Allah.Ummi bukan seperti rakan sebaya ummi yang lain.... Ummi, seperti kakak..." Ummi memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya..

"Kakak.... jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada satu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni... Tetapi kita kena ingat.. Kita takkan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai... Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali... dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah ummi. Ummi meneruskan,

"Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba itu sendiri.. Sebab hamba itu degil... Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya..

Dalam Islam kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Batas-batas syariah ini memelihara kehormatan seseorang lelaki dan seorang perempuan.

"Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain... Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara dia dan kita terputus... Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah... Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." ummi berhenti seketika..

Tentu kering tekak ummi menerangkan kepada saya persoalan hati ini. "Kakak, jadi di sini ummi nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pula bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain... Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang... Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta pada Pencipta dia.. Kita bagi tahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia.

Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuklah ummi abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang tu, beri tahu pada diri sendiri yang kita membenci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.."

"Kakak, hati kita ni walau dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya... Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila Dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..

Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana itulah pengalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh, cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti.."

"Kakak... walau siapapun jodoh yang Allah hantar untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah... Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak saja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia... Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak dapat mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur..."

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri...

Ummi menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan ummi sangat-sangat kuat. "Ummi dah didik anak-anak ummi dari sebelum lahir untuk mencintai Allah.Sekarang ummi serahkan anak ummi yang ummi sayang ni pada Allah untuk Dia pelihara. Kakak, jadilah contoh terbaik untuk adik-adikmu...." Ummi mengakhiri kata-kata dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya......

^_*

Sunday, December 5, 2010

Lelaki & Keistimewaannya

Lelaki dan keistimewaannya.... Kepada kaum lelaki, jagalah keistimewaan anda yang Allah anugerahkan ini kearah jalan yang diredhai-Nya.. Sha khuatir kerana pada masa kini pelbagai masalah sosial antara kaum lelaki sudah menjadi perkara biasa dalam dunia sekarang, ada sebahagian lelaki mencari lelaki untuk memuaskan nafsu (gay), seks bebas, biseksual, menukar jantina kepada bersifat wanita, menjadi "mak nyah", pondan atau sebagainya.

Mereka hidup dengan panduan ciptaan sendiri dan setaraf dengan kaum Nabi Lut as. yang dihancurkan oleh Allah seperti firmanNya dalam surah al-Jihr ayat 73-75, "Maka mereka dibinasakan oleh suara keras yang menguntur, ketika matahari akan terbit. Maka Kami jadikan bahagian atas kota itu terbalik ke bawah dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang keras." Nauzubillah..

Sedarlah kaum Adam, anda adalah insan terpilih ciptaan Allah..





1) Seorang yg berdikari

Proses pembelajaran yang diterapkan oleh Allah SWT kepada Adam a.s sejak awal di dalam syurga ini mempunyai matlamat dan persediaan ke arah menjadikan lelaki sebagai pemimpin dan khalifah di muka bumi.
Justeru mereka  mereka dibekalkan dengan ilmu dan panduan berbanding makhluk Allah SWT yang lain. Penciptaan lelaki secara tunggal sejak awal juga menunjukkan bahawa lelaki seorang yang berdikari dan boleh hidup bersendirian apabila mempunyai ilmu di dada. Manakala penciptaan Hawa adalah sebagai teman hidup bagi mengisi kesunyian Adam a.s.

2) Pemimpin dan pelindung

Sebagai pemimpin dan pelindung, lelaki dibekalkan dengan 9 akal dan 1 rasa malu (nafsu) berbanding wanita. Lantaran itu lelaki memegang tanggungjawab dan taklif yang lebih besar berbanding wanita. Dalam hal ini, lelaki adalah pemimpin bagi semua makhluk. Lelaki dilantik sebagai khalifah untuk memimpin lelaki, wanita dan alam ke arah yang sejahtera dan harmoni. Contohnya perlantikan para Khalifah selepas kewafatan Rasulullah s.a.w jelas menunjukkan peranan lelaki sebagai pemimpin.

3) Kelebihan dalam harta pusaka

Allah menyamakan kedudukan dua orang wanita dengan bahagian seorang lelaki. Kelebihan yang diberikan ini adalah merupakan sesuatu yang adil dalam Islam kerana kelebihan yang diterima oleh lelaki tersebut sebenarnya akan turut dinikmati oleh wanita kerana lelaki adalah pelindung dan pemberi nafkah kepada wanita.

4) Ketua keluarga

Tugas lelaki dalam keluarga adalah "Ketua Keluarga" meliputi tugas membimbing isteri dan anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT. Ketua keluarga bertanggungjawabuntuk memastikan seisi keluarga merasa selamat, sejahtera dan bahagia. Kelebihan yang terdapat pada lelaki sebagai pemimpin membolehkan lelaki Islam mengahwini wanita ahli kitab sama ada Yahidu atau Nasrani. Pengaruh "Ketua Keluarga" ini membolehkan lelaki membimbing isteri ahli kitab ke landasan yang dituntut oleh Islam.


pesan sha: Seorang lelaki yang beragama Islam mesti mempunyai cita-cita dan matlamat untuk menjadi lelaki Muslim yang soleh, suami yang mithali dan insan kamil yang dikehendaki Allah SWT. =)

Kisah : Pengemis dan isteri cantik

Bismillahirrahmanirrahim...

Ahlan wasahlan ya shodiqi =)
Hari ni sha tulis tentang sebuah kisah lagi, banyak kisah-kisah menarik yang memberi pengajaran kepada kita, dari zaman Nabi hinggalah kepada zaman para sahabat yang memberi panduan untuk kita pada masa akan datang.. Marilah kita sama-sama ikuti kisah ini..


Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan. Diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.''Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.'' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Suami yang baru itu menjawab dengan tenang : ''Demi ALLAH ,akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu .

RASULULLAH S.A.W Bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan''.

Anas Malik pula meriwayatkan bahawa NABI MUHAMMAD S.A.W ada bersabda yang bermaksud ; ''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''.




p/s: CERITA INI MEMBERI PENGAJARAN BAHAWA HIDUP KITA SEPERTI PUTARAN RODA DAN TIDAK SELALUNYA DI ATAS. ADA MASA DAN KETIKANYA KITA AKAN TURUN DAN KE BAWAH DAN NAIK SEMULA ATAU SEBALIKNYA...JADI ANA PESAN JANGAN KITA RIAK DENGAN HARTA YANG SEDIKIT ITU TAKUT-TAKUT ALLAH MENARIK BALIK NIKMAT SEMENTARA YANG DIBERIKAN PADA KITA DAN INGATLAH DALAM HARTA KITA ITU ADA HAK ORANG LAIN.. BERSEDEKAHLAH =)



kisah : Doa 3 hamba Allah yang makbul~

Bismillahirrahmanirrahim....

Kisah ini sha petik dari sebuah kisah pada zaman Rasulullah s.a.w tentang doa seorang anak yang memuliakan kedua ibu bapanya termakbul. Kisah ini sangat memberi erti dan sha harapkan ia menjadi iktibar dan dorongan kepada kita semua untuk sentiasa mengasihi dan menyayangi kedua ibu bapa kita... Selain itu, jangan sekali-kali kita menghampiri zina, zina itu perbuatan keji dan mungkar dan berbaktilah kepada masyarakat dan menjaga harta yang ditinggalkan kepada kita dengan penuh amanah. Mari kita hayati dan baca sejenak kisah ini...

Abdullah Ibnu Umar ra. telah berkata: "Aku pernah mendengar Rasululah SAW bersabda:

"Terjadi pada zaman dahulu sebelum kamu, tiga orang berjalan-jalan hingga terpaksa bermalam dalam sebuah gua. Mereka memasuki gua itu dan tiba-tiba ketika mereka sedang berada dalam gua, jatuh sebuah batu besar dari atas bukit dan menyumbat pintu gua tempat mereka berlindung, hingga mereka tidak dapat keluar. Maka berkatalah mereka: 'Sungguh tiada suatu yang dapat menyelamatkan kita semua dari bahaya ini kecuali jika kita memohon kepada Allah dengan perantaraan (wasilah) amal-amal salih kita. 

Kemudian seorang dari mereka berdoa: "Ya Allah, dahulu saya mempunyai ayah dan ibu, dan saya biasa tidak memberi minuman susu kepada seorang pun sebelum mereka berdua meminumnya, baik pada keluarga atau hamba sahaya. Pada suatu hari aku datang terlambat kerana mencari dedaunan untuk ternak (mengembala ternak), hingga aku tidak dapat kembali kepada keduanya kecuali setelah malam hari dan ibu bapaku telah tidur. 

Sesampainya di rumah, aku langsung memerah susu untuk keduanya, tetapi kujumpai mereka berdua telah tidur dengan nyenyaknya. Aku segan menganggu tidur mereka, dan aku pun tidak akan memberikan minum susu kepada sesiapapun sebelum ayah dan ibuku, baik pada keluarga atau hamba sahaya. Maka aku menunggu keduanya sampai bangun, sedang minumannya tetap berada di tanganku hingga terbit fajar. Tatkala mereka berdua bangun langsung kuberikan kepada mereka minuman itu, mereka segera meminumnya, padahal semalam suntuk anak-anakku merengek-rengek minta susu di dekat kakiku. 

Ya Allah, jika aku berbuat itu benar-benar kerana mengharapkan keredhaan-Mu, ku mohon Engkau melepaskan kami dari derita ini." Maka bergeraklah batu besar itu, hanya saja mereka masih belum dapat keluar daripadanya. 

Kemudian orang kedua berdoa: "Ya Allah, dahulu aku mempunyai saudara misan perempuan. Ia adalah satu-satunya wanita yang kucintai, dan aku ingin sekali menidurinya, hanya saja ia tidak mahu. Hingga pada suatu malam ketika ia mengalami kelaparan, lalu ia datang meminta pertolongan dariku. Aku bersedia memberinya sebanyak seratus dua puluh Dinar, dengan syarat agar ia mempersilakan diriku menidurinya. 

Kerana terdesak, ia setuju, dan tatkala aku telah menguasainya, ia berkata: 'Aku tidak memperkenankan engkau membuka cincin, kecuali dengan jalan hak (melalui nikah)'. Akhirnya aku merasa berdosa hingga tidak mahu menzinanya, lalu segera aku pergi, dan emas yang telah ku berikan kepadanya aku tinggalkan untuknya.

Ya Allah, jika aku berbuat demikian itu benar-benar kerana mengharapkan keredhaan-Mu, maka kupohon sudilah Engkau melepaskan kami dari derita ini." Batu besar itu bergerak lagi, hanya saja mereka masih belum dapat keluar daripadanya. 

Orang ketiga berdoa: "Ya Allah, aku pernah mengupah pada pekerja, dan telah kuberikan upah mereka sepantas kecuali hanya satu orang, kerana ia pergi begitu saja setelah pekerjaannya selesai tanpa memberi tahu. Kemudian upahnya kujadikan sebagai modal hingga merupakan suatu kekayaan. 

Maka pada suatu hari, orang itu datang kepadaku dan berkata: 'Hai hamba Allah, bayarlah sekarang upahku yang dulu.' Lalu aku berkata kepadanya: 'Semua yang engkau lihat itu, iaitu berupa ternak unta, sapi dan kambing serta hamba-hamba belian merupakan upahmu.' Orang itu berkata: 'Hai hamba Allah, jangan engkau mengolok-olok diriku.' Aku berkata: 'Sungguh aku tidak berolok-olok kepadamu, silakan kamu ambil semuanya.' Lalu orang itu membawa semuanya tanpa meninggalkan sedikitpun. 

Ya Allah, jika berbuat demikian itu benar-benar kerana mengharapkan keredhaan-Mu, kumohon sudilah Engkau melepaskan kami dari penjara ini. Akhirnya batu besar itu bergerak lagi dan terbukalah pintu gua itu hingga mereka dapat berjalan keluar"... (H.R Imam Bukhari dan Imam Muslim).

Friday, December 3, 2010

....muharram أهلا وسهلا ..zulhijjah الى اللقاء

Bismillahirrahmanirrahim....

bismillahi tawakkaltu 'alallah.... Assalamualaikum, selamat petang. Alhamdulillah, sudah lama sha tak tulis dalam blog ini, paling akhir di bulan ramadhan sebelum ini... Tanpa kita sedari zulhijjah begitu hampir meninggalkan kita dan awal muharram akan menggantikannya, dan bermulalah episod baru dalam hidup kita tahun baru yg akan memberikan makna dan tahun sudah yang memberikan pelbagai rasa dan nostalgia... 

Baiklah, bagaimanapun.. hari ini sha hendak kongsikan serba sedikit dengan sahabat-sahabiah semua tentang kelebihan bulan zulhijjah ni... Mungkin ada yang tidak tahu pelbagai peristiwa penting berlaku semasa bulan Zulhijjah ini. Marilah kita bermuhasabah diri, mana perkara yang mendatangkan kebaikan kepada kita sepanjang tahun ni kita teruskan dan pertingkatkan dan mana yang mebawa keburukan kita cuba elakkan dabn perbaiki kelemahan yang ada pada kita.... Wallahualam....

                                                        *********************************

1) Zulhijjah ialah hari Allah mengampuni Nabi Adam a.s..
    Barang siapa yang berpuasa pada hari itu, Allah akan 
    mengampuni segala dosanya.

2) Zulhijjah ialah hari dikabulkan doa Nabi Yunus dan ia keluar dari 
   perut ikan Nun. Barang siapa berpuasa pada hari itu, seolah-olah ia 
   beribadat setahun.

3) Zulhijjah ialah hari lahir Nabi Isa a.s. Barang siapa berpuasa pada 
    hari itu, nescaya Allah akan menjauhkan darinya segala kesusahan.

4) Zulhijjah hari lahirnya Nabi Musa a.s.. Barang siapa berpuasa pada hari itu, 
    terlepaslah ia dari nifaq dan mendapat perlindungan dari azab kubur.

5) Zulhijjah ialah bulan dimana Allah membukakan segala kebajikan 
    kepada para NabiNya. Barang siapa berpuasa pada hari itu, nescaya 
    Allah memandang kepadanya dengan penuh kerahmatan.

6) Zulhijjah ialah hari yang padanya ditutupkan segala  pintu neraka dan 
   tidak akan dibuka sehingga 10 zulhijjah. Barang siapa yang berpuasa pada 
   hari itu, nescaya Allah akan menutup 300 pintu kesempitannya dan dibukakan 
   30 pintu kemudahan untuknya.

7) Zulhijjah ialah hari yang dinamakan hari Tawiyah. Barang siapa berpuasa, 
    nescaya Allah akan memberi ganjaran yang hanya diketahui oleh Dia sahaja.

8) Zulhijjah ialah hari Arafah. Barang siapa yang berpuasa pada hari itu, 
    akan terhapuslah dosa-dosanya setahun yang akan datang.


InsyaAllah... Semoga sedikit ilmu yang sha kongsikan ini akan memberi manfaat kepada anda juga.. =)