Wednesday, December 8, 2010

Wanita bijaksana, wanita bahagia~~

Assalamualaikum.. selamat petang, selamat tahun baru hijrah. Masih belum terlewat sha nak ucapkan.. =)
Sebenarnya hari ni tak tahu nak tulis apa sebab banyak kerja nak buat di rumah, jadi lepas makan tadi ada belek2 buku "Be a Hapiness Woman" oleh Dr. 'Aidh Abdullah Al-Qarni, asyik sangat sampai tak perasan masa berlalu dengan begitu pantas.

Sha tertarik dengan ungkapan yang disebutkan dalam buku ini begini bunyinya "Wanita yang bijaksana mampu mengubah sahara yang gersang menjadi taman yang segar menghijau"... Sha betul-betul tertarik dengan kata-kata ini. Walaupun ungkapan ini ringkas saja, tapi ia bagi makna yg cukup mendalam. Sha nak olah serba sedikit makna di sebalik ungkapan ini melalui pemahaman sendiri..

Siapa wanita yang bijaksana itu?

Wanita yang bijaksana ini adalah wanita muslimah yang sejati dimana mereka bukan saja menjaga hak Allah, memelihara hubungan dengan Allah, tetapi mereka juga menjaga hubungan baik sesama manusia.

Wanita yang bijaksana itu sentiasa bertaubat. tidak menunggu-nunggu masa untuk bertaubat untuk sekian-sekian masa. Mereka sentiasa membersihkan diri dari dosa dan noda agar lebih mudah melangkah mendekati Tuhan. 

Wanita yang bijaksana itu sentiasa menjaga akhlaknya, menjaga tingkah-lakunya walau dimana saja mereka berada kerana bagi mereka akhlak tu melambangkan peribadi seseorang, akhlak itu dinilai dengan sikap yang ditunjukkan mereka. Sikap seseorang akan terpantul kepada orang lain dan begitu juga sebaliknya. Jika baik sikap mereka, orang-orang di sekeliling akan menilai mereka seorang yang baik dan begitu jugalah sebaliknya.

Wanita yang bijaksana sentiasa menjauhi perkara-perkara yang membawa dia kepada kemaksiatan dan kemurkaan kepada Tuhan. Mereka menjauhi sikap dendam, ego, riak dan sikap2 mazmumah yang lain kerana mereka tidak mahu menjadi wanita yang dibenci Allah.

Wanita yang bijaksana itu sentiasa membahagiakan suami dan bijak menguruskan rumahtangga agar sentiasa menjadi harmoni dan gembira. Wanita bijaksana ini tidak akan tergamak menyusahkan suaminya dengan pelbagai permintaan dan tuntutan. Ia bersikap menerima apa yang sudah diberikan oleh Allah kepadanya.

Wanita yang bijaksana itu sentiasa rela dan redha dengan ketentuan dan pilihan Allah sama ada dalam penetapan jodoh, kehidupan, kesihatan atau kebahagiaannya. Jadikan Hajar r.a. isteri Nabi Ibrahim sebagai contoh ketika suaminya meninggalkannya bersama anak lelakinya Nabi Ismail a.s. di suatu lembah yang gersang atas perintah Allah SWT.

Wanita yang bijaksana sentiasa mahu rasa bahagia dan mencari kebahagiaan. Bagi mereka, masalah itu bukanlah suatu musibah atau sesuatu yang melemahkan mereka tetapi sebagai penghembus semangat untuk terus berusaha menjadi wanita yang paling bahagia.



10 formula untuk mencapai bahagia:
  1. Mengerjakan sesuatu yang disenangi. Jika dalam pelaksanaannya ada halangan, maka cubalah melakukan apa yang menjadi kesenangan anda pada waktu anda lapang atau ketika anda sibuk.
  2. Mengambil berat dengan kesihatan sangat penting, kerana kesihatan adalah kunci kebahagiaan itu sendiri. Caranya banyak, antara lain menjaga keseimbangan pemakanan, bersukan dan menjauhi kebiasaan yang tidak sihat.
  3. Mempunyai matlamat hidup yang jelas, kerana ia yang akan membuat seseorang bersemangat.
  4. Rela dan redha menerima kehidupan apa adanya, termasuk pahit maungnya hidup itu.
  5. Menumpukan perhatian pada hidup yang ada pada hari ini, tidak menyesali yang telah berlalu, dan tidak bersikap gelisah menghadapi hari esok yang belum tentu sampai.
  6. Mampu berfikir dalam kerja dan berani mengambil keputusan. Tidak menyalahkan orang lain jika keputusan yang diambil itu salah.
  7. Selalu memerhatikan orang yang lebih rendah ditinjau dari status ekonomi dan sebagainya, supaya kita lebih tahu masih ada orang yang lebih susah dan mempunyai masalah yang lebih rumit dari kita.
  8. Tidak kedekut memberi senyuman dengan wajah berseri dan sentiasa berkawan dengan mereka yang optimis.
  9. Bersedia membantu orang lain supaya mereka bahagia, kerana dengan demikian ia juga akan mendapat tempias kebahagiaan itu.
  10. Mampu merebut peluang dan kesempatan berharga dan menjadikannya sebagai pusat kebahagiaan.

"Jadilah wanita yang mampu mengubah musibah menjadi anugerah"

Kepahitan sabar akan menjanjikan natijah yang manis. Tidak ada yang dapat mengangkat darjat seorang wanita sebagaimana yang dapat dilakukan yakni sikap memelihara maruah.

Sebelum ana akhiri menulis pada hari ni, ada sebuah kisah yang nak dikongsikan dengan sahabat semua tentang seorang wanita bijaksana pada zaman Rasulullah. Beliau menyampaikan sebuah berita yang cukup sedih dengan cara yang bijaksana dan teliti kerana cara yang baik serta waktu yang sesuai akan meringankan rasa duka di dalam jiwa. Hayatilah kisah ringkas ini, semoga bermanfaat buat kita.

Dalam sejarah Islam, ada seorang sahabat wanita yang dianggap sebagai ikon kesabaran. Wanita yang dimaksudkan itu ialah Ummu Sulaim, isteri Abu Talhah. Kesabaran Ummu Sulaim itu akhirnya mendapat ganjaran yang besar dari Allah SWT, malah ia berlaku semasa hidupnya.

Menurut hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik, Ummu Sulaim dan Abu Talhah mempunyai seorang anak yang sedang sakit parah. Ketika Abu Talhah tidak ada di rumah, anak itu meninggal dunia. Ummu Sulaim menerima cubaan itu dengan penuh kebijaksanaan, bersikap sabar dan lemah lembut. Maka berkata Ummu Sulaim kepada keluarganya : "Janganlah kamu memberitahu kepada Abu Talhah tentang anaknya sehingga aku sendiri yang menceritakannya."

Apabila Abu Talhah balik ke rumah, dia bertanya kepada isterinya, Ummu Sulaim : "Bagaimana keadaan anak kita?" Ummu Sulaim menjawab : "Sekarang dia lebih tenang dari sebelumnya!"

Sehingga sampai saat makan, dia pun makan dan minum. Kemudian Ummu Sulaim berhias dengan solekan yang indah, yang tidak pernah dilakukan sebelumnya. Tertariklah Abu Talhah dan terjadilah hubungan suami isteri. Setelah itu, Ummu Sulaim lalu berkata : "Wahai Abu Talhah, bagaimana pendapatmu apabila ada suatu kaum meminjamkan barang pinjaman kepada kaum yang lain.sehingga kaum tersebut ingin meminta barangnya kembali, adakah yang meminjam mempunyai hak untuk menghalangnya?"

Abu Talhah r.a. menjawab : " Tidak." Ummu Sulaim berkata : " Maka mohonlah pahala Allah untuk anakmu. Anas r.a. berkata : "Maka marahlah Abu Talhah sambil berkata : "Apakah engkau membiarkan sehingga aku kotor baru engkau khabarkan tentang anakku." Kemudian Abu Talhah pagi-pagi sekali datang kepada Nabi SAW dan memberitahu apa yang berlaku. Nabi SAW bertanya : "Apakah kamu berhubungan semalam?" Abu Talhah menjawab : "Ya." Nabi SAW bersabda: "Mudah-mudahan Allah memberikan keberkatan kepada kamu berdua."

Tidak berapa lama kemudian Ummu Sulaim melahirkan anak lelaki. Abu Talhah berkata kepadaku : "Bawalah anak ini dan beberapa kurma kepada Nabi SAW." Nabi SAW bertanya : "Apakah ada sesuatu bersama anak itu?" Abu Talhah menjawab : "Ya, beberapa buah kurma."Nabi SAW mengambil kurma tersebut dan mengunyahnya, lalu mengeluarkan dari mulutnya dan menyuap anak kecil itu dengan kurma yang sudah dikunyah oleh bagainda dan memberi nama anak itu Abdullah.

Begitulah keperibadian Ummu Sulaim yang tidak mahu membesar-besarkan masalah, walaupun sebenarnya masalah yang mereka hadapi sangat berat. Kerana jika kita redha dengan ketentuan yang telah Allah SWT berikan, maka Allah akan menggantikan sesuatu yang pergi dengan yang lebih baik lagi.


No comments: