Tuesday, December 7, 2010

ummi..... ajarkanlah kakak tentang cinta~

Assalamualaikum... Semoga sahabat terhibur. Kisah ini juga sha ada letak dalam facebook, sesiapa yang sudah baca boleh baca sekali lagi.. hehe~ Semoga menjadi renungan buat anda..


Saya bertanya kepada ummi, "mana satu pilihan hati, orang yang sayangkan kita atau orang yang kita sayang?" Ummi jawab,"dua-dua bukan....." Saya tercengang.. Ummi mengukir senyuman. Pilihan hati ummi adalah yang sayangkan kita kerana Allah.." Saya menarik nafas dalam-dalam...

"Macam mana nak tau orang tu sayangkan kita kerana apa?" Ummi diam sekejap berfikir kemudian tersenyum. Rasanya ummi dapat menduga apa yang sedang bermain dalam hati anak perempuannya ini. Mana mungkin saya mampu menyorokkan rahsia hati dari ummi sedangkan sekilas saya pun ummi mampu membacanya.

"Yang paling tahu hanya Allah.." Ummi merenung dalam-dalam wajah saya.. "Kerana hanya Allah mampu membaca hati hambaNya." Ummi menyusun ayat-ayatnya. "Dan keikhlasan kerana Allah itu akan terserlah keberkatannya tanpa perlu sengaja ditonjolkan oleh seseorang tu.."

Saya memintas, "tak faham.."

Ummi menyambung, "Cinta di dalam jalan Allah.. Bertemu kerana sama-sama mencari redha Allah.."
Ummi menyambung lagi,  "Begini, setiap insan yang bergelar manusia telah Allah ciptakan berpasang-pasangan. Rasa ingin dikasihi oleh seorang suami dan isteri suatu fitrah. Automatik boleh ada daya tarikan megnet tu.."

Wajah saya merah, sedikit cemas jika ummi dapat mengesan gelora jiwa muda ini. Ummi menyambung,

"Setiap manusia telah Allah tetapkan rezeki, jodoh dan maut sejak azali lagi. Persoalannya ialah.... Siapakah jodoh itu? ummi berhenti seketika. Saya tunduk malu, cuba menyorokkan rasa panas di pipi. Ummi buat-buat tak nampak.

"Kakak, ummi dulu masa muda ada secret admirer.. Rajin betul dia hantar surat. Masa ummi hendak balik sekolah pun dia selalu ikut, sampai ummi lari menyorok dari dia. Ummi takut dia apa-apakan ummi. Dalam hati tak berhenti-henti berdoa agar Allah sentiasa pelihara ummi. Masa tu ummi tahu bercinta sebelum kahwin ni tidak halal...dan masa tu ummi tekad tak mahu layan sebab ummi takut tok kamu marah. Ummi sedar ummi anak orang miskin, adik beradik ramai.. Ummi nak belajar bersungguh-sungguh..

Lama budak tu tunggu ummi. Akhirnya ummi bagi kata putus, ummi hanya akan membalas cinta dia jika dia sah suami ummi... dan dia memang bukan jodoh ummi, maka tak pernah dia menerima balasan cinta itu." Ummi merenung jauh. Saya merapatkan badan kepada ummi, semakin berminat dengan kisah lama ummi.

"Ummi memang tak ada perasaan langsung pada dia ke?" Saya menyoal sambil memandang tajam wajah ummi. Ummi ketawa kecil... "Walaupun mungkin ada, ummi tak pernah bagi peluang pada diri ummi untuk mengisytiharkan perasaan tu... Ummi takut pada Allah.Ummi bukan seperti rakan sebaya ummi yang lain.... Ummi, seperti kakak..." Ummi memandang saya sambil memegang pipi dan dagu saya. Kemudian tangannya mengusap rambut di kepala saya..

"Kakak.... jatuh cinta perkara biasa. Apabila kita jatuh cinta pada seseorang, itu tandanya ada satu keistimewaan pada seseorang tu. Apatah lagi orang yang kita jatuh cinta tu di atas jalan dakwah ni... Tetapi kita kena ingat.. Kita takkan dikahwinkan dengan seseorang atas sebab jatuh cinta atau saling cinta mencintai... Bercouple mungkin.. Tetapi bukan berkahwin... Kerana kita berkahwin dengan jodoh kita, jodoh yang Allah dah tetapkan sejak azali... dan tak mustahil orang yang kita paling benci itulah jodoh kita yang kita akan dikahwinkan dengannya.."

Tiba-tiba air mata saya mengalir. Argh! Ego saya kalah bila mendengar hujah ummi. Ummi meneruskan,

"Allah itu Maha Adil.. Dia tak pernah menzalimi hambaNya.. Sesungguhnya, yang selalu menzalimi hambaNya ialah diri hamba itu sendiri.. Sebab hamba itu degil... Dia mahukan yang bukan haknya, yang bukan milik dia. Mencintai seseorang tidak semestinya memilikinya..

Dalam Islam kita dah diajar untuk saling mencintai antara satu sama lain seperti diri sendiri.. Jadi apabila kita mencintai saudara perempuan, kita bebas peluk dia. Tetapi bila dengan lelaki, kita ada batas-batasnya. Batas-batas syariah ini memelihara kehormatan seseorang lelaki dan seorang perempuan.

"Cuba kakak renungkan, kita mengenali seorang insan yang amat baik, sempurna agamanya dan rajin. Lalu kita jatuh hati padanya. Ditakdirkan jodohnya dengan insan lain, kita pula dengan yang lain... Tetapi itu tidak bermakna ukhwah antara dia dan kita terputus... Kita dan dia masih boleh sama-sama bekerjasama untuk mencari redha Allah... Perbezaannya, dia halal untuk isterinya sedangkan untuk kita, dia tetap lelaki ajnabi seperti yang awalnya." ummi berhenti seketika..

Tentu kering tekak ummi menerangkan kepada saya persoalan hati ini. "Kakak, jadi di sini ummi nak kakak faham, jatuh cinta bukan perkara luar biasa.Dan berkahwin pula bukan suatu jaminan untuk tak jatuh cinta pada lelaki lain... Kerana itulah ramai isteri yang curang, suami yang curang... Ada orang tukar pasangan macam tukar baju. Apa yang penting ialah kita kena perjelaskan pada diri kita supaya setiap kali kita jatuh cinta, jatuh cinta itu kerana kita jatuh cinta pada Pencipta dia.. Kita bagi tahu pada diri kita berulang kali yang kita mencintai Allah, kerana itu kita mencintai si dia.

Letakkan Allah sebagai sempadan hati kita, segala perkara yang kita cintai dan sayangi termasuklah ummi abah adalah kerana mencintai Allah.. Dan apabila kita membenci seseorang tu, beri tahu pada diri sendiri yang kita membenci sekian-sekian hal kerana Allah semata-mata.."

"Kakak, hati kita ni walau dalam dada kita sendiri, ia tetap bukan milik kita. Kita tak mampu untuk mengawalnya... Hanya Allah yang boleh memegangnya.. Sebab tu kita kena dekatkan diri dengan Allah. Sebab kita nak dia pegang kukuh-kukuh hati kita. Bila Dia pelihara dan masuk dalam hati kita, itulah nikmat lazatnya bercinta. Masa tu biarpun satu dunia menyakiti kita, kita tak rasa sakit sebab kita asyik dengan nikmat bercinta dengan Allah..

Bercinta dengan Allah sangat berbeza dari bercinta dengan manusia. Kerana itulah pengalaman bercinta dengan lelaki kaya, rupawan, sempurna dan bijaksana tak sama rasanya bercinta dengan lelaki miskin, hodoh, cacat dan dungu.. Betapa nikmatnya cinta Allah, hanya mereka yang pernah merasai sahaja yang mampu mengerti.."

"Kakak... walau siapapun jodoh yang Allah hantar untuk kakak, terimalah dengan hati yang redha.. Tak mustahil dia adalah orang yang kita benci. Kalau yang kakak sayang, tak jadi hal lah... Tapi kalau dapat yang kakak tak nak, lantaran kelemahan yang ada pada dia, ingatlah bahawa dalam diri setiap insan telah Allah ciptakan dengan kelebihan masing-masing. Dan mungkin kakak ada kekuatan yang dapat mengubah si lelaki tadi supaya hidup dia bermakna dan mungkin kakak saja yang mampu mencungkil kelebihan yang ada pada dia... Mungkin juga si lelaki ini ada sesuatu kelebihan yang kakak sangat-sangat perlukan yang satu dunia tak mampu bagi pada kakak.. Alangkah bertuahnya kakak kalau kakak dapat mengerti setiap pemberian Allah dan belajar untuk bersyukur..."

Sekali lagi berjuraian air mata saya turun. Terasa lemah lutut hendak berdiri...

Ummi menarik tubuh saya dan memeluk erat. Pelukan ummi sangat-sangat kuat. "Ummi dah didik anak-anak ummi dari sebelum lahir untuk mencintai Allah.Sekarang ummi serahkan anak ummi yang ummi sayang ni pada Allah untuk Dia pelihara. Kakak, jadilah contoh terbaik untuk adik-adikmu...." Ummi mengakhiri kata-kata dengan suara sebak dan air mata yang mengalir ke bahu saya......

^_*

No comments: