Tuesday, December 7, 2010

Jangan bersedih sahabatku...


"Jangan bazirkan air mata awak kerana seorang lelaki" pesan sahabatku. Aku membuang pandangan ke arah lain, tidak sanggup rasanya untuk meneruskan ceritaku pada dia, lantas ku seka air mata yang mulai gugur satu persatu itu. "Sahabatku, dunia ini hanya permainan dan senda gurau, kan lebih elok air mata tu jatuh kerana menangisi perbuatan dan dosa-dosa kita yang telah lalu..." tambahnya lagi.

"Bagaimana ingin saya lupa, dia adalah insan yang sangat saya sayang. Nur.. awak jangan risau tentang saya ya, insyaAllah saya akan berusaha untuk buang jauh-jauh perasaan itu". Nur memandangku hambar, mungkin dia rasakan nasihatnya cuma sia-sia. Lantas ku pegang erat tangan Nur. "Saya harap awak ada untuk saya, bagi sokongan pada saya Nur"
"Nasuha, jika awak hanya berkata insyaAllah akan berusaha tetapi awak tidak lakukannya, untuk apa nasihat saya? Saya tak sanggup melihat sahabat saya jadi begini, bersedih hati hanya kerana seorang lelaki!" suaranya sedikit meninggi.

"Berilah saya masa Nur, saya akan buktikan pada awak, pada semua orang yang saya mampu lupakan dia".
"Awak kena cekal Nasuha, kuatkan semangat awak. Setiap masalah itu pasti ada jalan penyelesaiannya. Saya dah tak sanggup tengok kawan saya menderita. Untuk apa awak menderita jika lelaki itu belum tentu menjadi milik awak Nasuha! Ingatlah, dia belum tentu akan menjadi suami awak. Tidak perlulah awak bersusah payah untuk dia jika awak sendiri tahu yang dia hanya mengambil kesempatan atas kelemahan awak saja" panjang sungguh ayat yang keluar dari bibir Nur. Dari sebalik wajahnya, aku nampak bola-bola jernih mengalir dari tepi matanya.

"Nur, saya takkan sia-siakan nasihat awak" hatiku menjerit.  Nur berlalu dari bilik, mungkin kembali ke bilik study. Dia sendiri tidak sanggup melihat air mataku mengalir lagi. Aku faham benar dengan sikap Nur. Tak pernah aku nampak sekali pun dia membuka kisah tentang lelaki. Aku pernah cuba untuk bertanya, tapi Nur hanya mendiamkan diri. Katanya belum sampai masa untuk dia berada di alam itu. Kadang-kadang aku ingin sekali menjadi seperti Nur. Dia teman paling rapat yang aku ada.

Ahhh.... tiba-tiba fikiranku menerpa kembali kepada Ahmad Farhan. Kenapa dia sanggup buat aku seperti ini? Apa salahku padanya? Apa kejamkah aku mencintainya? Kenapa dia selalu menyiksa hatiku begini? Begitu banyak persoalan yang aku lontarkan dalam hati.
"Ahmad Farhan, kenapa susah benar awak ingin memahami hati saya? Pengorbanan yang macam mana lagi yang perlu saya buat untuk memenangi hati awak....??"

"Nasuha, awak ada kat mana ni? Sibuk ke? Saya nak minta tolong boleh?" satu sms dihantar ke telefon bimbitku. Tertera nama Ahmad Farhan di skrin telefon itu. Aku dalam dilemma. Apakah harus aku membalas smsnya kali ini? atau membiarkan saja? Ahh.... peningnya, kenapa saat-saat inilah Ahmad Farhan menghantar sms padaku. Aku sudah berjanji dengan Nur tadi. Bagaimana mungkin aku lupa dengan kata-kataku pada Nur.

"Kenapa tak balas sms saya?" sms yang kedua menyusul. Jantungku berdegup kencang. Apa yang harus aku lakukan? Kejamkah aku untuk mengabaikan saja sms dari insan yang amatku sayang ni? Wajah Nur dan Ahmad Farhan datang silih berganti. Kedua-duanya memandangku tajam. Aku betul-betul buntu, lantas aku ambil keputusan untuk mengabaikan saja sms itu. "Biarlah!!!" Batinku menjerit. "Padan muka dia, siapa suruh buat saya macam ni? Siapa yang kejam saya atau awak Ahmad Farhan? Siapa yang sia-siakan cinta saya? Siapa yang hilangkan kepercayaan saya? Siapa yang dah carik-carik hati saya?"

Aku menangis lagi. Kenapa mudah sangat untuk aku mengalirkan air mata untuk lelaki ini. "Nasuha lupakan dia, masih ramai lagi lelaki lain yang lebih baik dari dia. Lupakan dia Nasuha, tidak guna awak terlalu setia pada orang yang tak pernah ingat pada awak. Dia hanya datang cari awak tika dia perlukan awak saja Nasuha. Plezzzzz....... tanam dalam diri awak tu untuk buang dia jauh-jauh dari hati awak..." Jiwaku meronta-ronta, wajahku mula memerah mendengar jeritan batinku sendiri. Telefon bimbit itu aku off... Baru lega rasanya tanpa gangguan si dia.

"Nasuha sayang Farhan tak?" ujarnya. Aku mengangguk malu, dia tersenyum memandangku. "Tentulah sayang, itu pun nak tanya ke?" Aku berjalan mendahuluinya. "Tanya je, salah ke?" ujarnya pula. Dia mengekoriku dari belakang.
"Tak de lah salah. Kalau saya kata saya sayang awak, itu tanda saya betul-betul sayang awak" jawabku. Dia tersenyum lagi. "Tapi janganlah sampai cinta kita ini melebihi cinta kita pada Tuhan" ujarnya. "Kalau kita mahu pasangan kita setia dengan kita, kita perlu setia dengan Tuhan, setialah pada agama, insyaAllah pasangan kita akan setia dengan kita" pesan Ahmad Farhan padaku. Aku mengerti kata-katanya, penuh makna.

Tapi itu dulu..... kini aku betul-betul tak sangka dia sendiri yang berubah. Aku sendiri tak mengerti kenapa dia boleh berubah. Aku dah cuba jadi buah hati yang paling baik untuk dia, yang setia dengan dia, yang sanggup lakukan apa sahaja, yang sentiasa ada untuk dia tika dia perlukan aku, tapi kenapa dia begitu kejam? Kenapa dia curang padaku? Dimana salahku, mana silapku?

Aku sungguh tidak sangka dia hanya pandai bermain kata-kata, lama-kelamaan keegoannya terserlah. Dia berubah menjadi makin tegas dan selalu meninggikan suara padaku. Lantaran rasa takut itu, aku tidak pernah katakan tidak boleh padanya, tidak pernah sekali pun aku marah padanya semula. Aku tetap menjaga egonya walau aku terpaksa melupakan ego aku sendiri.

Betullah kata Nur, mencintai tidak beerti memiliki. Aku redha dengan ketentuan Illahi kerana tidak disangka-sangka Ahmad Farhan meminta hubungan kami ini putus. Katanya, dia belum bersedia untuk perhubungan yang serius. Katanya dia hanya menganggap hubungan kami seperti abang dan adik sahaja. Katanya aku layak mendapat lelaki yang jauh lebih baik dari dia. Air mataku gugur saat dia luahkan itu. "Sampai hati awak Ahmad Farhan, sampai hati awak buat saya macam ni" keluhku perlahan.

"Haah... berangan apa ni Nasuha? Masih sedih dengan kisah awak bersama Ahmad Farhan ke?" teguran Nur itu membuatku tersentak. "Eh, mana ade, cuma risau dengan assignment yang berlambak..." ujarku. Nur memandangku sekilas..
"Yeke? Dari tadi saya nampak awak termenung. Sudah lah tu Nasuha, tak guna ingat-ingat lagi pada dia. Dia dah jadi sejarah, sekarang kita buka lembaran baru. Selagi kita masih Allah bagi peluang untuk bernafas ni, tunaikanlah tanggungjawab kita padaNya. Allah lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya...". Aku mengangguk. Sedikit terkena dengan kata-kata dari sahabatku itu.

"Terima kasih sahabatku. Awak aje lah yang memahami saya". Nur mengangkat keningnya, buat-buat tak faham. Pecah ketawa kami. Kadang-kadang Nur ni kelakar juga orangnya. Ada masa dia nampak tegas, ada masa dia pandai juga buat orang yang sedih menjadi ceria kembali.
"Dia cari awak lagi ke Nasuha?" tiba-tiba persoalan itu singgah dari bibirnya. Aku kembali terdiam, suasana sepi seketika.
"Hurmm.... ya!" balasku ringkas.

"Apa lagi yang dia nak dari awak Nasuha? Tak cukup lagi ke dia dah sakiti hati awak selama ni. Ermm... awak cakap apa dengan dia?". Nur memandangku tajam, seolah-olah mencari jawapan dari sebalik wajahku. "Saya tak balas sms dia, saya nak pergi jauh-jauh dari dia, saya tak nak dia muncul lagi dalam hidup saya", jawabku sugul.

"Baguslah macam tu Nasuha. Jangan kerana seorang lelaki, kita bazirkan masa kita, kita bazirkan duit kita untuk dia, kita bazirkan waktu yang tersisa ni untuk dia, kita bazirkan air mata kita yang mahal ni kerana dia. Sedarlah sahabatku, sedarlah! Jangan sampai tersilap langkah, nanti kita sendiri yang menyesal".

Aku memegang kemas jari jemari Nur, ku cari keikhlasan dari balik kata-katanya. Mataku mula berkaca-kaca.
"Nur, jauh di sudut hati saya, saya amat menyayanginya, tapi bila saya teringat macam-macam perkara yang dia dah buat pada saya, saya jadi geram sangat dengan dia. Sudah banyak benda yang saya dah buat untuk dia, macam-macam saya korbankan untuk dia, semuanya untuk dia. Tapi dia tak pernah sekali pun cuba selami hati saya, tak pernah sekali pun cuba berada di tempat saya. Saya rasa pengorbanan saya hanya sia-sia!", luahku pada Nur. Dia mengangguk memandangku.

"Betul tu Nasuha. Bukalah hatimu, bukalah mindamu Nasuha, pasti suatu hari nanti Allah akan ganti dengan orang lain yang jauh lebih baik dari dia dan pada saat tu awak akan rasa sangat bertuah kerana dipertemukan dengan orang itu. Belajarlah dari kesilapan. Terimalah ketentuan Allah ini dengan redha. Indahya jika kita dapat mensyukuri pemberian yang sedikit itu Nasuha, kerana pemberian yang sikit itulah yang membawa kita ke Jannah Tuhan. Jangan kerana kita kehilangan seorang insan yang amat kita sayang, kita tutup hati kita ni rapat-rapat, kerana kadang-kadang kita memandang pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga kita tak nampak pintu yang telahpun dibukakan untuk kita". Nasihat Nur membuat dadaku sebak, lantas aku peluk erat tubuhnya melepaskan segala yang terbuku di jiwa.

Air mataku menitis lagi, kali ini ia bukan kerana seorang lelaki tetapi kerana terharu dengan keikhlasan seorang teman sejati.....


^_*

pesanan: kisah ini sha karang sendiri, tak tahulah ok ke tak pada pandangan sahabat.. hehe.. Apa-apa pun ape yang sha nak sampaikan, pertama sekali carilah sahabat yang mulia yang mengajak kita berbuat yang baik dan menjauh yang mungkar, yang kedua, jodoh pertemuan ketentuan Allah, jangan kita lupa cinta hakiki dan rindu abadi hanya pada Allah, jauhi zina.. dan yang ketiga, jika kita berbuat baik dengan orang, berpada-padalah kerana silap2 kita hanya dipermainkan.. Renung-renungkan dan selamat beramal.. =)


No comments: